Novel pengarang terkenal Faisal Tehrani yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu kini diperakukan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas dakwaan mempunyai mesej Syiah.

Menariknya, perakuan itu dinyatakan dalam majlis ceramah berhubung dakwaan kesesatan Syiah yang turut dihadiri isteri Najib, Rosmah Mansor di Seri Perdana, Putrajaya, kelmarin, lapor MyMetro.

Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jakim Mohd Aizam Masod dilaporkan berkata, berlaku penyusupan idea ajaran itu melalui novel berjudul Perempuan Nan Bercinta itu.
"Ini sangat bahaya kerana penulisannya mempromosikan Syiah dan mutaah, antara hujahnya adalah mutaah bukan bertujuan seks tetapi menghalalkan pergaulan antara lelaki dan wanita... malah penulis juga bermain dengan pemikiran rasional orang ramai.

"Namun, buku ini sudah diperakukan haram oleh Jakim. Antara buku Syiah lain yang juga sudah diambil tindakan adalah Meniti Titian Kebenaran, Akhirnya Kutemui Kebenaran, Dialog Sunnah Syiah danSalafi Wahabi," beliau dipetik sebagai berkata.