Kenyataan Mahathir lagakan parti dakwa PKR

Sabtu, 28 Desember 2013 0 komentar

Wartawan Sinar Harian
24 November 2012
Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Datuk Fauzi Abdul Rahman.
KUANTAN – “Sesiapa pun boleh jadi Perdana Menteri (PM), kalau Pas menang mereka boleh jadi, kalau PKR menang pun boleh malahan kalau MIC dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) menang pilihan raya, kalau boleh mereka pun mahu pemimpin dalam kalangan mereka yang dipilih,” kata Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Beliau berkata kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak menjadi Perdana
Menteri berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kenyataan tersebut ditimbulkan Tun Mahathir dan Umno dengan tujuan hendak melaga-lagakan PR.

“Sebenarnya saya berani cakap bahawa Tun Mahathir sendiri yang inginkan kembali jawatan tersebut memandangkan masih ada tugasan yang belum sesuai.

“Sebab itulah beliau beria-ia sangat nak menyatakan siapa yang lebih layak untuk menjadi PM, mungkin beliau belum sediakan tempat untuk anak atau kroninya untuknya memegang jawatan tersebut," katanya.

Kata Fauzi, bagi PKR Pahang, beliau yakin perkara remeh seperti itu mampu diselesaikan pucuk pimpinan PR.

Katanya, isu siapakah PM merupakan perkara biasa dan tidak menjejaskan PR.

“Yang penting sekarang adalah memburu kemenangan dalam pilihan raya akan datang terlebih dahulu.

“Kami pastinya tidak memilih mereka yang hanya menjaga hak kroni, isteri atau suami sebagai PM,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Berserah, Syed Mohammad Tuan Lonik berkata, persoalan ditimbulkan sekarang ini bertujuan memecahbelahkan PR agar lebih bertelagah.

“Walaupun kita sudah mencapai kata sepakat dan memilih siapa yang patut tetapi perkara itu tetap akan menjadi isu kepada Umno," katanya.

Sementara itu, menurut Adun Triang yang juga Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah menyifatkan Tun Mahathir sebagai orang yang sengaja membuat kacau menjelang pilihan raya.

“Sepatutnya orang sudah pencen perlu rehat sahaja dan tidak mengeluarkan pelbagai kenyataan," katanya.

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Banyak Teori