DBKL Pilih Kasih – Nurul Izzah

Minggu, 16 Februari 2014 0 komentar


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengamalkan diskriminasi dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kemudahan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut termasuk Dewan Serbaguna.

Beliau mendakwa DBKL tidak sepatutnya mengamalkan sikap pilih kasih dalam hal tersebut dan kembali memainkan peranan yang aktif dalam memberi perkhidmatan lebih baik dan saksama kepada seluruh warga ibu negara.

“Penggunaan kemudahan DBKL seperti Dewan Serbaguna tidak seharusnya diberikan secara pilih kasih dan sebaiknya bebas digunakan oleh mana-mana pihak yang ingin menggunakannya tanpa diskriminasi.

“Oleh itu satu Piagam Warga Kota Kuala Lumpur mesti dirangka yang menggariskan Hak Akses Saksama semua warga kepada perkhidmatan dan kemudahan kerajaan khususnya DBKL,” cadangnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pada itu mencadangkan supaya sistem Kad Laporan Perkhidmatan DBKL berdasarkan maklum balas warga Kuala Lumpur diwujudkan untuk memastikan peranan aktif DBKL dalam berkhidmat kepada masyarakat.

Dakwanya, langkah itu bagi memastikan masalah penyelenggaraan asas seperti membaiki jalan raya dan longkang tersumbat dan serta lif rosak dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Beliau turut mencadangkan Pusat Bersepadu Perkhidmatan Kerajaan dan Masyarakat Kawasan Parlimen diwujudkan untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan perkhidmatan awam oleh wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.

Dakwa beliau, pusat bersepadu tersebut akan dilengkapi pejabat Jabatan Khidmat Masyarakat, Jabatan Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL termasuk pejabat Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Banyak Teori