Saifuddin minta bantuan Umcedel

Minggu, 16 Maret 2014 0 komentar

sinarharian
16 Mei 2013
Datuk Saifuddin Abdullah Datuk Saifuddin Abdullah
KUALA LUMPUR - Belum pun sampai dua minggu keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diumum, yang menyaksikan kekalahan bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah membayangkan beliau sudah sedia untuk kembali bertarung pada pilihan raya akan datang.
Bagi tujuan itu katanya, beliau sudah meminta Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) untuk melakukan penyelidikan berikutan kegagalannya mempertahankan kerusi terbabit dalam PRU13.

"Untuk saya belajar dari kesilapan itu dan manalah tahu kalau ada nur (cahaya) dalam parti yang sama," katanya sambil berseloroh pada Seminar Pasca PRU13 : Ke Arah Mana Politik Malaysia, di UM, hari ini.

Akur dan optimis dengan kekalahannya kepada calon Pas, Nasrudin Hasan Tantawi dengan majoriti 1,070 undi, ia sama sekali tidak melunturkan hasrat beliau meneruskan perjuangan politik baru yang dibawanya.

"Nampak gayanya saya masuk dalam kategori Tun Dr Mahathir dan Bill Clinton, menang selepas itu kalah dan menang terus naik jadi perdana menteri," ujar Saifuddin sambil menerima tepukan gemuruh hadirin.

Saifuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno merupakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada penggal yang lalu.

Mengulang pendirian beliau sebelum ini bahawa pengundi PRU13 terbahagi kepada dua - iaitu yang membawa harapan pembangunan dan harapan demokrasi, Saifuddin mengharapkan politik Malaysia terus matang di masa hadapan.

"Keputusan PRU13 menyaksikan kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya meletakkan harapan pembangunan itu lebih tinggi, di situlah BN menang.

"Sebab BN memang teror menjaga harapan pembangunan itu tetapi BN masih bekerja keras untuk menangani harapan demokrasi di mana di situ, majoriti pengundi lebih meletakkan harapan kepada harapan demokrasi, BN akan kalah," ujar beliau.

Menurut Saifuddin lagi, untuk masa depan BN, MCA katanya "kena memperbaiki dengan beria-ia sekali".

"BN juga harus menampung kelompok yang hendak sokong tapi tak masuk BN atas sebab tidak selesa dengan parti-parti komponen," ujar beliau lagi.

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Banyak Teori